mutakhir

Rezeki kais remis

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: Biasanya pada musim tengkujuh, nelayan tidak dapat ke laut kerana keadaan cuaca tidak menentu termasuk ombak besar, tetapi di sebalik keadaan itu, masih ada sumber pendapatan yang diraih.

Bagi penduduk di pesisir Pantai Rhu Renggeh, Rusila, di sini, mencari remis yang banyak terdapat di kawasan pantai adalah kerja sampingan kerana ia dapat memberi hasil tambahan apabila mampu dijual dengan harga RM10 sekilogram.

Tinjauan di pantai itu semalam, mendapati lebih 10 penduduk mencari remis di pesisiran pantai walaupun berhadapan dengan ombak besar.

Uniknya aktiviti mencari remis di sepanjang pantai Rhu Rengeh kerana mereka bukan sahaja menggunakan teknik tradisional iaitu menggunakan kaki untuk mengorek tempat yang dipercayai terdapat remis, tetapi turut menggunakan sejenis alat khas hasil kreativiti dan ciptaan penduduk setempat yang digelar pengais.

Pengais mudah digunakan dan tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak, malah hasil yang diperoleh juga 10 kali ganda lebih berbanding menggunakan teknik tradisional.

Pencari remis, Saufi Muda, 32, berkata, penggunaan pengais itu memberi kemudahan kepada penduduk untuk lebih mudah mencari remis malah menjimatkan tenaga.

“Kebiasaannya kami hanya mampu memperoleh sebanyak satu hingga dua kilogram remis dengan menggunakan teknik mengorek dengan kaki, tetapi melalui penggunaan pengais, kami mampu memperoleh lima hingga 10 kilogram (kg) sehari bergantung kepada keadaan ombak.

“Semakin kuat ombak, makin banyak pula hasil yang diperoleh sekiranya menggunakan pengais, tetapi perlu berhati-hati kerana ombak besar turut memberi risiko yang lebih tinggi kepada pencari remis,” katanya.

Saufi berkata, aktiviti mencari remis dijalankan bermula awal Januari dan berterusan sehingga tamat musim tengkujuh yang dijangka pada awal Mac ini.

“Pantai ini memang sudah terkenal dengan remis pada musim tengkujuh dan pada hujung minggu terutama Jumaat, penduduk dan pengunjung dari daerah lain akan datang ke pantai itu untuk mencari remis.

“Remis memang sukar ditemui dan jarang dijual di pasar. Ia sukar diperoleh dan bila tiba musim tengkujuh, penduduk yang menggemarinya akan ke pantai untuk mencari remis.

“Selain dijadikan lauk di rumah, ia juga boleh dijual kerana sentiasa mendapat permintaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2017 @ 10:57am
d