mutakhir

Bakti Giant

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant) menyumbangkan RM120,000 bagi menaja Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro - Giant di Terengganu dan Kelantan pada Jumaat dan Sabtu ini.

Pengarah Hal Ehwal Korporat Giant, Roseta Mohd Jaafar berkata, sumbangan itu bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di kedua-dua negeri yang mengalami kerugian termasuk kerosakan harta benda akibat musibah yang berlaku awal bulan ini.

"Dalam misi ini Giant berkolabrasi dengan Harian Metro (HM) menerusi program Titipan Kasih untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di dua kampung di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan empat kampung di Pasir Mas, Kelantan yang membabitkan 500 keluarga.

"Selain itu kami turut memberi bantuan kepada dua sekolah agama dan madrasah membabitkan hampir 300 pelajar di kedua-dua daerah yang turut terjejas akibat banjir," katanya selepas majlis penyerahan replika cek kepada Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar di Balai Berita, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis penyerahan tajaan itu, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) HM yang juga Pengerusi Titipan Kasih HM, Othman Mamat dan Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Mohd Shahrizal Ayub.

Menurut Roseta, Giant membelanjakan kira-kira RM2 juta setiap tahun bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memfokuskan kepada golongan kanak-kanak, warga tua dan keluarga miskin.

"Bagi program bantuan yang diadakan Jumaat dan Sabtu ini, seramai 30 sukarelawan daripada 'Big Hearted Giant' turut menyertai Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP untuk melakukan kerja gotong-royong di sekolah agama yang terbabit," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2017 @ 11:05am
d