mutakhir

Buat kerja amal sambil tunggu keputusan SPM

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: “Semoga kerja amal ini memberkati keputusan peperiksaan kami,” kata Shamimi Norazmi, 18, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka yang memanfaatkan masa lapang dengan memberi bantuan kepada gelandangan.

Shamimi seorang daripada 170 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah berkenaan yang menganjurkan program Burger For All kepada 500 gelandangan di sekitar ibu kota sementara menunggu keputusan peperiksaan.

Shamimi berkata, meskipun kali pertama menyertai program bertemu dengan golongan gelandangan, dia tidak takut atau kekok malah tidak sabar untuk membantu kumpulan yang tidak bernasib baik itu.

“Usaha ini mendidik kami secara praktikal berbanding selama ini hanya lebih kepada teori supaya mengamalkan nilai murni dengan orang lain dan saya memegang prinsip jika kita berbuat baik, pasti akan dibalas dengan baik.

“Kami juga berharap sedikit sebanyak usaha murni ini memberkati keputusan SPM yang bakal kami terima nanti,” katanya ketika menyampaikan bantuan makanan dan set kelengkapan diri kepada gelandangan di Masjid Jamek, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, dia berharap usaha itu mampu menggalakkan generasi muda untuk melaksanakan pendekatan sama dalam membantu golongan yang serba kekurangan daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah apabila tamat persekolahan.

Ketua projek, Mohamad Abbas Ali Nasir, 18, berkata, projek itu dirancang dua minggu sebelum peperiksaan SPM dan tidak menjangkakan ramai rakan mahu membabitkan diri termasuk mengumpul dana sendiri.

“Kita sudah biasa lihat gelandangan menerima makanan yang siap dibungkus, tidak segar dan sejuk. Jadi kami buat kelainan yang mana kami membekalkan 500 burger ayam yang masih panas.

“Selain itu, kami menyediakan set kelengkapan membersihkan diri kepada kumpulan gelandangan yang kebanyakannya tidak mempunyai tempat tinggal,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Menurutnya, semua pelajar yang memberi bantuan dibahagikan kepada empat kumpulan membabitkan kawasan sekitar Masjid Jamek, Pudu, Pasar Seni dan Kolej SeGi.

Disiarkan pada: January 12, 2017 @ 11:11am
d