mutakhir

'Ulat tiket' didenda RM3,000 [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Alor Setar: Tindakan seorang ulat tiket memujuk orang awam secara tidak sah untuk membeli tiket di Terminal Bas Shahab Perdana di sini, tahun lalu mengundang padah apabila dia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli menjatuhkan hukuman itu terhadap Masdiana Zainal, 34, dari Kampung Kubang Besar, Pokok Sena selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Selain itu, tertuduh yang bekerja sebagai kerani kaunter tiket sebuah syarikat bas di terminal bas berkenaan juga boleh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan memujuk atau mendesak bagi maksud menawarkan perkhidmatan yang berkaitan dengan menerima untuk upah bagi penumpang di suatu tempat awam di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini pada jam 12.05 tengah hari 11 Oktober tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 715) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Masdiana yang berbaju kurung merah dan bertudung kelabu hanya mengangguk faham dan membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Mohd Khairul.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Raihana Halmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda terbabit sambil ditemani saudara maranya yang turut hadir ketika perbicaraan.

Disiarkan pada: January 12, 2017 @ 11:21am
d