mutakhir

Trauma berpanjangan

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Mangsa penderaan majikan, Nur Firdaus Ibrahim, 21, berisiko mengalami trauma jangka panjang sekiranya tiada pemulihan sesuai diberikan.

Pegawai Psikologi dan Kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Norizwanti Ahmad berkata, kejadian berkenaan secara tidak langsung akan memberi impak kepada mangsa dan keluarga.

Beliau berkata, antara kesan yang kemungkinan dialami mangsa ialah berasa tidak selamat apabila berjumpa masyarakat.

Menurutnya, mangsa juga akan mudah berasa cemas dan gementar ketika berjumpa masyarakat selain gemar menyendiri bagi mengelak diri dikasari.

Kata Norizwanti, sekiranya tiada pemulihan fizikal dan mental yang sesuai, mangsa ada cenderung menjadi agresif untuk melindungi diri.

“Keselamatan adalah keperluan asas dalam hidup seseorang. Jika tahap keselamatan mangsa terancam, dia tidak akan dapat meneruskan kehidupan secara holistik,” katanya.

Norizwanti berkata, keluarga perlu terus memberikan sokongan dan dorongan kepada mangsa kerana mereka insan yang paling hampir dengannya.

Beliau berkata, keluarga perlu terus memberikan semangat dan rangsangan positif serta membawa mangsa terdedah kepada persekitaran luar supaya dia akan berani dan dapat berinteraksi dengan masyarakat.

“Sehingga kini Bahagian Kaunseling JKM belum dirujuk berkaitan kes ni. Sebagai tindakan asertif, kami akan melawat mangsa dan keluarga dalam masa terdekat,” katanya.

Keluarga mangsa berkata, lelaki itu bekerja di sebuah kedai aksesori kereta di Taman Perling sejak tiga bulan lalu turut mendakwa dipukul menggunakan batang paip, kayu dan ekzos serta dipercayai dibiarkan kelaparan hingga berat badan menurut daripada 93 kilogram kepada 70 kilogram dalam tempoh dua bulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata.

Polis meminta kerjasama ramai yang memiliki maklumat berkaitan suspek menghubungi talian Hotline Polis Kontinjen Johor di 07-2212999 atau Hotline Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-3864222.

Disiarkan pada: January 14, 2017 @ 4:54am
d