mutakhir

Tabung Haji kerja keras

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang membuat penyusunan semula kemudahan penginapan, pengangkutan dan makanan untuk bakal jemaah haji tahun ini selepas kerajaan Arab Saudi mengembalikan semula kuota asal sebanyak 27,800 jemaah tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pengembalian kuota itu sangat bermakna kepada penduduk di negara ini memandangkan sebelum ini hanya 22,320 jemaah saja dibenarkan menunaikan haji setiap tahun.

Katanya, atas sebab itu, pihaknya kini bekerja keras dengan membuat pemantauan terhadap beberapa maklumat terperinci yang diperlukan jemaah pada masa akan datang.

“Hujung bulan ini, saya dan TH akan mengikuti mesyuarat tahunan haji yang dianjurkan kerajaan Arab Saudi, melalui mesyuarat ini kita akan menyampaikan beberapa perkara mengenai jemaah haji dari negara ini.

“Selain itu, kita juga akan berbincang mengenai hal teknikal seperti penggunaan biometrik dan perjalanan jemaah ketika di sana nanti,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Agensi-Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha.

Sementara itu mengenai rayuan kuota haji, Jamil Khir berkata, perkara itu sudah diusulkan dan berjalan dengan lancar namun seperti kebiasaan jawapan akan diumumkan lewat.

“Soal tambahan kuota ini boleh dikatakan sebagai satu isu sensitif kerana negara lain juga membuat rayuan yang sama.

“Sekiranya kita heboh-hebohkan mengenai perkara ini sudah tentu negara lain yang tidak mendapat kuota tambahan akan menuntut hak yang sama,” katanya.

Kerajaan Malaysia akan memohon kepada kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kuota jemaah haji kepada 30,000 jemaah tahun ini.

Disiarkan pada: January 14, 2017 @ 4:56am
d