mutakhir

Tambah IO polis percepat kes di mahkamah

Oleh myMetro

Putrajaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menambah bilangan pegawai penyiasat (IO) terutama di Selangor bagi membolehkan kecekapan penyiasatan dan perbicaraan kes jenayah di mahkamah dipercepatkan.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata, PDRM perlu menambah bilangan pegawai berkenaan memandangkan kini, setiap pegawai penyiasat perlu menghadiri perbicaraan untuk lebih satu kes, sekali gus melambatkan kes perbicaraan.

Beliau berkata, perkara seumpama itu kebanyakannya berlaku di Selangor kerana seorang pegawai penyiasat yang sama perlu menghadiri tiga perbicaraan kes jenayah di mahkamah berbeza selain perlu menyelesaikan tugas siasatan.

“Saya berharap PDRM khususnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mengambil perhatian berhubung isu ini selain menambah bilangan Pegawai Penyiasat.

“Kita cuba mempercepatkan perbicaraan kes, tetapi ada beberapa kekangan dihadapi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Katanya, selain pegawai penyiasat, beliau juga mahu pegawai kimia dan peguam yang lebih ramai bagi mengendalikan kes jenayah tertunggak.

Tun Arifin berkata, beliau turut mengakui faktor kekurangan peguam yang mengendalikan kes jenayah menyebabkan perbicaraan kes jenayah mengambil masa yang lama untuk dibicarakan.

Disiarkan pada: January 14, 2017 @ 5:10am
d