mutakhir

Khabar gembira 500,000 pekebun kecil

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Trend pengukuhan kenaikan harga sawit membawa berita gembira kepada lebih 500,000 keluarga pekebun kecil di negara ini.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kenaikan harga sawit bermula Ogos tahun lalu berikutan pertumbuhan permintaan daripada pengguna utama.

“Kami harapkan trend pengukuhan ini berterusan dan memberi kelegaan kepada pekebun kecil.

“Bagaimanapun, kita masih mengalami penurunan pengeluaran bekalan kerana dipengaruhi oleh kesan El Nino,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, harga minyak sawit mencatatkan RM3,205 bagi setiap tan metrik pada bulan lalu.

“Kami berharap pekebun kecil berhati-hati dan mengamalkan ‘Good Agriculture Practice’ (GAP) supaya buah sawit dihasilkan hanya yang berkualiti.

“Ini antara langkah terbaik dilakukan kerajaan yang sentiasa mencari pasaran baharu. Selain permintaan tinggi dari negara di Asia Barat dan China,” katanya.

Katanya, MPOB berharap harga komoditi di negara ini semakin kukuh pada satu tahap yang sangat meyakinkan.

Menurutnya, MPOB percaya harga tinggi itu berpanjangan berikutan beberapa usaha yang dijalankan kerajaan dengan mencari pasaran baharu di luar negara.

“Kenaikan ini memberi kelegaan kepada pekebun kecil sawit seluruh negara, sekali gus memberi pulangan baik kepada mereka,” katanya.

Ahmad berkata, ini antara usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengukuhkan hubungan perdagangan dengan China yang memberi banyak peluang pasaran baharu kepada minyak sawit negara.

“Berikutan permintaan tinggi minyak sawit di negara itu, harga pasaran bahan komoditi ini turut meningkat, sekali gus memberi kelegaan kepada pekebun kecil seluruh negara,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2017 @ 5:13am
d