mutakhir

Hasil merosot

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Sabak Bernam: “Kami bersyukur dengan bantuan diumumkan Menteri (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) hari ini (semalam).

“Sebelum ini kami (pesawah) memperoleh hasil purata 10 tan padi semusim namun selepas diserang penyakit Hawar Daun Bakteria (BLB), pendapatan merosot kepada RM3,000 atau tiga tan saja,” kata Maulan Sharip, 64, Ketua Blok B5 Parit Satu Timur, Sungai Besar di sini, semalam.

Menurutnya, jumlah pendapatan itu belum ditolak kos seperti upah, sewa traktor, kos meracun dan lain-lain malah ada pesawah berhutang kerana pendapatan diperolehi tidak mencukupi.

“Kos upah di sini antara RM1,000 hingga RM1,300 bagi satu lot dengan keluasan 1.2 hektar. Itu belum termasuk pelbagai kos lain. Jika satu musim pesawah peroleh RM3,000, ada antara mereka tak cukup bagi membayar kos berkenaan sehingga perlu berhutang,” katanya.

Maulan ditemui dalam program turun padang Ahmad Shabery ke kawasan sawah padi yang diserang BLB di sini, semalam.

Dalam program itu, Ahmad Shabery meninjau padi yang diserang BLB menyebabkan pokoknya kekuningan dan hasil diperoleh berkurangan.

Beberapa kawasan tanaman padi di daerah itu dan Sekinchan turut diserang penyakit sama menyebabkan pendapatan pesawah terjejas.

Mengulas lanjut, Maulan berkata, di kawasannya iaitu Blok B5, ada 52 lot dengan keluasan 62 hektar namun 48 lot atau 57 hektar diserang penyakit itu.

Menurutnya, sebelum ini sawah padi berkenaan diserang penyakit sama namun hanya membabitkan sedikit kawasan berbanding ketika ini yang disifatkan paling teruk.

Sementara itu Ketua Blok B3, Khairi Jelani, 60, berkata, daripada 65 lot di kawasannya, 60 lot diserang penyakit itu dan tindakan segera perlu diambil.

Menurutnya, kawasan padi yang dihasilkan untuk benih juga diserang penyakit itu menyebabkan mereka tidak boleh menjualnya kepada pesawah luar.

“Sebelum ini kami membekalkan benih padi kepada pesawah dari luar seperti Kedah dan Perlis namun selepas diserang penyakit ini, kita tidak mahu ambil risiko lagipun benih dihasilkan tidak menepati syarat,” katanya yang menyatakan mereka menggunakan padi jenis 284 ketika ini.

Khairi berharap, serangan BLB diatasi sebelum proses penanaman padi yang bermula April depan supaya pesawah memperoleh pendapatan seperti sebelum ini.

Disiarkan pada: January 15, 2017 @ 5:10am
d