mutakhir

Susah anda kami kongsi

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Pasir Mas : Seramai 250 keluarga yang menjadi mangsa banjir di Mukim Alor Pasir gembira apabila menerima bantuan daripada program Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro-Giant di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah, Kampung Bongor, di sini, semalam.

Bantuan disampaikan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar untuk meringankan beban ditanggung mangsa terbabit yang dilanda banjir, baru-baru ini.

Beliau berkata, bantuan itu sebahagian daripada program khidmat masyarakat khas bagi membantu mangsa banjir.

"Ini kerjasama pertama Harian Metro dengan Giant dalam program Titipan Kasih Harian Metro menerusi misi bantuan banjir.

"Ia program tahunan kami dan kali ini program diadakan khas bagi membantu mereka yang menjadi mangsa banjir akhir tahun lalu dan awal tahun ini.

"Bagi menjayakan misi ini, kami mendapat kerjasama Giant yang menyumbangkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, minuman dan bekalan makanan selain peralatan pembersihan seperti baldi, penyapu, penyodok sampah dan sabun," katanya.

Turut hadir Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi Titipan Kasih Othman Mamat, Pengarah Hal Ehwal Korporat GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant) Roseta Mohd Jaafar dan Pengerusi Jawatankuasa Pusat Pemindahan Sementara SABK Diniah Yusri Ibrahim.

Selain itu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Honda Malaysia Sdn Bhd dan Bermaz Motor Trading Sdn Bhd turut menaja kenderaan Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP yang menyertai misi berkenaan.

Mustapa berkata, seramai 60 kakitangan Harian Metro, Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP dan Sukarelawan Big Hearted Giant terbabit dalam misi itu.

Sementara itu, Roseta berkata, beliau terharu sambutan yang diterima daripada mangsa banjir.

Katanya, dia menerima banyak ucapan terima kasih daripada penduduk kampung.

"Kebanyakan mangsa banjir yang datang hari ini (semalam) yang pertama kali menerima bantuan secara besar-besaran.

"Insya-Allah selepas ini, kami akan teruskan misi bantuan banjir dan juga akan meneruskan kerjasama dengan Harian Metro di masa akan datang," katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2017 @ 5:38am
d