mutakhir

Keadaan Qaisara semakin stabil

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Keadaan kanak-kanak yang menghidap biliary atresia Qaisara Batrisya Ahmad Ariffin, beransur stabil selepas dipantau rapi pakar perubatan dari Hospital Renji, Shanghai, China sejurus tiba di negara itu minggu lalu.

Sebelum ini, keadaan Qaisara Batrisya yang berusia dua tahun lima bulan itu agak lemah manakala kakinya membengkak kesan daripada kegagalan pembedahan pemindahan hati menggunakan hati bapanya Ahmad Ariffin Abd Hamid, 43, Ogos lalu.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (Nadi Permata) Marsilayuhaini Baharuddin berkata, tarikh sebenar pembedahan pemindahan hati Qaisara Batrisya Ahmad Ariffin, bakal dimuktamadkan selepas pakar perubatan berpuas hati dengan perkembangan kesihatan kanak-kanak itu.

“Keadaan Qaisara kini lebih stabil berbanding sebelum ini yang lemah tak bermaya dan bengkak di kaki. Selepas diberi rawatan rapi Qaisara mula bersuara, tersenyum dan berselera makan.

“Dia dipantau setiap dua jam dan kini keadaan kakinya beransur baik selepas doktor di sini mencuci kaki Qaisara tiga hari sekali.

“Menerusi perbincangan saya bersama pakar, mereka akan menjalankan pembedahan pada bila-bila masa apabila keadaan kesihatan badan Qaisara sesuai untuk dibedah,” katanya berkongsi perkembangan terkini kanak-kanak itu.

Kisah penderitaan Qaisara yang memerlukan dana RM160,000 bagi membiayai keseluruhan kos rawatannya pernah disiarkan muka depan akhbar ini pada 28 Disember lalu.

Menurutnya lagi, dana bagi membiayai keseluruhan kos rawatan dan pembedahan Qaisara di China berjumlah RM160,000 semakin menghampiri sasaran.

“Alhamdulillah dana Qaisara mencecah RM120,000. Namun, kami masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi mencukupkan baki dana,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank ibu Qaisara, Che Rohyati 556020060516 atau BSN 0650041000046896 atau ke akaun Maybank Nadi Permata 551575307417 atau menghubungi Marsilayuhaini di talian 013-7444501.

Disiarkan pada: January 16, 2017 @ 11:19am
d