mutakhir

Jumpa anak hilang di kubur lama

Oleh myMetro

Tumpat: Seorang remaja perempuan yang hilang selama enam jam ditemui lemah di kawasan perkuburan lama di Kampung Kutan Hilir, di sini, semalam.

Wan Masitah Wan Ismai, 14, ditemui jam 8 pagi oleh bapanya Wan Ismail Wan Ahmad, 58, kira-kira 800 meter dari rumah selepas keluar jam 2 pagi hari sama.

Ibunya, Mastura Abdullah, 51, berkata, anaknya disedari tiada dalam bilik tidur sebaik kakaknya terdengar bunyi pintu dibuka.

“Kakaknya tidur di bilik bersebelahan bilik Wan Masitah dan ada mendengar bunyi pintu dibuka. Dia keluar dan menjenguk bilik tidur Wan Masitah dan mendapati adiknya tiada.

“Dia cuba mencari di ruang lain namun tidak menemui adiknya sebelum memberitahu ahli keluarga mengenai kehilangan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mastura berkata, mereka sekeluarga cuba mencari Wan Masitah di kawasan sekitar termasuk di rumah jiran namun gagal dijumpai.

Katanya, dia risau memikirkan sama ada anaknya itu diculik, tetapi tidak membuat laporan polis memandangkan kehilangannya tidak sampai dalam tempoh 24 jam sebaliknya mereka sekeluarga mengadakan solat hajat.

“Selepas Subuh pagi tadi (semalam), suami saya pulang dari surau dan tergerak hati untuk mencari di kawasan semak di belakang rumah yang mempunyai kubur lama.

“Suami dan anak lelaki mencari selama sejam sambil melaungkan azan sebelum menemui Wan Masitah berdiri berhampiran kubur dalam keadaan separuh sedar serta membawanya pulang,” katanya.

Mastura berkata, Wan masitah memberitahu ketika keluar rumah dalam keadaan tidak sedar, dia ingin melihat batu nisan di kubur terbabit.

Katanya, dia tidak menyangka Wan Masitah mampu pergi ke kubur lama itu seorang diri pada waktu malam sedangkan mereka sekeluarga tidak pernah menjejakkan kaki di sana dan bersyukur kerana menemui semula anaknya itu.

Disiarkan pada: January 16, 2017 @ 11:27am
d