mutakhir

Makan malam bertukar pilu [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Majlis persaraan seorang anggota tentera yang sepatutnya berlangsung di sebuah hotel di Jalan Penghulu Cantik, bertukar tahlil apabila anak kepada seorang anggota terbabit lemas ketika mandi kolam, kelmarin.

Mangsa, Mohamad Syazwan Mohamad Arifin Lipin, 7, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 petang di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini selepas dilaporkan lemas pada jam 5.25 petang.

Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik berkata, pihaknya menganjurkan majlis makan malam bersempena persaraan Komandan Pusat Latihan Artileri (PUSARTI) Kem Syed Sirajuddin Gemas pada jam 8 malam.

Katanya, belum sempat majlis dihadiri, pihaknya dikejutkan apabila Mohamad Syazwan yang juga anak anggotanya, Mejar Mohamad Arifin Lipin Abdullah, 40, dimaklumkan lemas.

“Berikutan itu, kami menukar majlis ini sebagai tahlil dan bersedih atas pemergian arwah,” katanya ditemui di HTJ, di sini, semalam.

Tengku Ahmad Noor berkata, dalam majlis itu seramai 199 anggota dijemput hadir bersama ahli keluarga.

“Sebelum majlis berlangsung, Mohamad Syazwan beriadah bersama keluarga di kolam hotel berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menguruskan jenazah kanak-kanak itu ke Papar, Sabah untuk dikebumikan di kampung halaman Mohamad Arifin.

“Difahamkan, Mohamad Syazwan memiliki seorang lagi kembar dan dia adalah anak bongsu daripada empat beradik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, mangsa mandi di kolam jam 5 petang sebelum lemas 25 minit kemudian.

Katanya, kanak-kanak itu diselamatkan orang awam sebelum bapanya bergegas ke lokasi memberikan bantuan pernafasan.

“Mangsa tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke HTJ oleh ambulans namun disahkan meninggal dunia. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, suasana di pekarangan bilik mayat HTJ begitu hiba apabila ahli keluarga Mohamad Arifin menangisi pemergian arwah.

Disiarkan pada: January 16, 2017 @ 11:28am
d