mutakhir

Nelayan separa tentera

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersedia berdepan ancaman nelayan asing dari negara yang didakwa dilatih separa tentera untuk menceroboh perairan negara bagi tujuan menangkap ikan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, pihaknya akan meningkatkan kecekapan anggotanya dalam pelbagai aspek termasuk memintas komunikasi bagi memastikan keselamatan nelayan dan perairan negara.

Katanya, pihaknya tidak hanya menumpukan kepada aspek fizikal semata-mata kerana menyedari kemungkinan kumpulan berkenaan turut mempunyai kemampuan lain sekiranya benar mereka mendapat latihan separa ketenteraan seperti didakwa.

“Sekiranya mereka mendapat latihan dalam ilmu berkenaan (ketenteraan) mungkin mereka akan berhubung dengan pihak tertentu (memberikan maklumat perairan negara), sebab itu anggota kita juga harus mempunyai kemampuan untuk memintas maklumat dihantar.

“Kita harus ada kelebihan dalam memintas dan menilai analisis sedemikian, keperluan kita pada masa ini macam-macam termasuk perang siber bukan hanya aspek fizikal semata-mata seperti sebelum ini,” katanya selepas merasmikan Kursus Lanjutan Pegawai Maritim Antarabangsa, di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kelmarin mendedahkan kerajaan menerima maklumat ada nelayan di sebuah negara dilatih separa tentera untuk menceroboh perairan negara ini di Laut China Selatan bagi tujuan menangkap ikan.

Disiarkan pada: January 17, 2017 @ 10:33am
d