mutakhir

Dah dekat

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Amanat disampaikan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak yang mahu pimpinan UMNO negeri bekerja sebagai satu keluarga di semua peringkat dianggap tonik bagi mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, dalam pertemuan tertutup di Pusat Konvensyen Hotel Tabung Haji, di sini, semalam pimpinan UMNO negeri diminta bersiap sedia kerana kerja yang besar (PRU) sudah dekat.

Menurutnya, semua pimpinan UMNO negeri perlu membuat persiapan di semua peringkat termasuk melihat Pusat Daerah Mengundi serta mempergiatkan daftar pemilih dan pengundi.

“Siapa yang bekerja keras, orang itu (parti) yang akan menang, jadi kena pastikan kita semua bekerja sebagai satu keluarga di semua peringkat iaitu bahagian, sayap parti termasuk ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) kena bersatu.

“Ketua-ketua bahagian kena beri komitmen dan yang paling penting sekali wajib mempertahankan 10 kerusi Parlimen sedia ada dan 21 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang dimenangi pada PRU sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas ditemui sebaik selesai pertemuan tertutup itu, semalam.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata, UMNO negeri juga menetapkan sasaran untuk menambah dua atau tiga lagi kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

“Dalam amanat Presiden itu juga, kerusi 21 DUN yang dimenangi sebelum ini waima apapun beliau meminta kita pertahankan kerana ini maruah UMNO.

“Saya juga sudah laporkan kepada beliau bahawa UMNO negeri menetapkan sasaran menang PRU akan datang dengan majoriti 2/3 kerusi.

“Jadi dia (Najib) kata kalau negeri sudah letak sasaran itu, jika ingin capai sasaran itu kena bekerja kuat dan semua kena bekerja memastikan sasaran itu tercapai,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri yakin dengan UMNO Kedah kerana beliau menyedari negeri ini adalah penting dan perlu mengekalkan kemenangan pada PRU akan datang.

“Hal ini kerana kalau kita menang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan terkubur selepas itu,” katanya.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini, pada jam 3.45 petang, semalam bagi mengadakan lawatan dua hari ke Kedah.

Perdana Menteri dan isteri akan memulakan lawatan dengan bersarapan bersama penduduk setempat di Medan Selera Alor Merah, di sini, pada jam 8.30 pagi ini.

Mereka kemudian dijadualkan menghadiri majlis Komuniti Perumahan Rakyat 1Malaysia Pertama Kedah di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani sebelum ke Padang Awam Kuala Ketil bagi menghadiri program bersama rakyat.

Disiarkan pada: January 17, 2017 @ 10:45am
d