mutakhir

Tauke kek bajet

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: “Saya menjual kek bajet kerana mahu berniaga sambil membuat amal jariah,” kata Juwita Mustaffa,40.

Juwita adalah peniaga kek kecil-kecilan yang memperkenalkan kek bajet dua bulan lalu dan kini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Katanya, idea itu tercetus kerana mahu mempelbagaikan lagi jenis kek dijualnya selain membolehkan pelanggan menikmati kek yang enak pada harga berpatutan.

“Ada sembilan jenis kek bajet yang saya jual iaitu kek coklat, pandan, strawberi, mangga, laici, kopi, vanila, kiwi dan blueberi.

“Kek bajet ini dimasak secara kukus, seberat di antara 300 dan 500 gram yang dijual dengan harga RM10 dan ia boleh dimakan tiga atau lima orang bagi sebiji kek,” katanya kepada Harian Metro.

Suri rumah itu berkata, dia tidak kisah mendapat keuntungan yang sedikit asalkan pelanggan berpuas hati apabila membeli dan menikmati kek berkenaan.

“Saya percaya jika tidak terlalu berkira dengan pelanggan, Allah akan memberikan rezeki lebih kepada saya.

“Alhamdulillah, walaupun baru dua bulan memperkenalkan kek ini, tetapi saya sudah tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan,”katanya.

Katanya, sehingga kini dia sudah menerima tempahan lebih 1,000 kek bajet menerusi Facebook atau Whatapps.

“Saya hanya dibantu anak kedua Nor Musyirah Hanim Abu Bakar, 16, membuat kek jika dia tidak bersekolah.

“Disebabkan kekangan tenaga, saya terpaksa mengehadkan membuat 25 biji kek bajet sehari meskipun ramai pelanggan merungut kerana terpaksa menunggu giliran mendapatkan kek yang mereka tempah,” katanya.

Katanya, walaupun kek bajet tetapi rasanya setanding dengan kek lain dan itu diakui sendiri oleh pelanggan.

Disiarkan pada: January 17, 2017 @ 10:55am
d