mutakhir

Tak sangka nasi lemak pilihan PM

Oleh myMetro

Alor Setar: Peniaga nasi lemak, Norma Che Mi, 53, bangga apabila hidangan yang disajikan kepada pelanggannya setiap pagi menjadi menu pembuka selera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Perdana Menteri Bersarapan Bersama Rakyat di Medan Selera Alor Merah, di sini, semalam.

Norma yang turut menjual beberapa kuih termasuk karipap dan apom lenggang berkata, dia tidak menyangka nasi lemak jualannya menjadi hidangan pertama dimakan Najib.

“Nasi lemak yang saya buat ini biasa saja, tidak sangka pula Perdana Menteri akan membuka bungkusan nasi lemak saya lalu memakannya,” katanya ketika ditemui di gerainya di medan selera berkenaan.

Dia yang berniaga di medan selera berkenaan sejak 10 tahun lalu berkata, nasi lemak itu disiapkan awal pagi selepas dimaklumkan rakan peniaga lain berkenaan kehadiran Perdana Menteri di medan selera itu.

Penduduk, Shuhaimi Tasun, 52, pula berkata, kunjungan Najib itu sekurang-kurangnya dapat merasa denyut nadi rakyat di kawasan berkenaan.

“Kami dapat bersarapan dengan Najib dan beliau seorang yang sangat peramah serta pandai mengambil hati penduduk di kawasan ini.

“Malah, kesudian Perdana Menteri datang ke sini juga membuatkan kami rasa dekat dengannya,” katanya.

Sempena program itu, Najib meluangkan masa sejam untuk bersarapan bersama kira-kira 2,000 penduduk di sekitar Alor Merah.

Selain nasi lemak, beliau turut mencuba keenakan kuih apom lenggang dan teh O panas serta beramah mesra dengan beberapa penduduk setempat.

Perdana Menteri tiba jam 8.40 pagi diikuti isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pada jam 9.20 pagi dan ketibaan mereka diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Turut mengiringi mereka, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz dan barisan Exco Negeri Kedah.

Sementara itu, pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan dana RM822,000 bagi kerja naik taraf Masjid Ar-Rahman, Alor Merah di hadapan medan selera berkenaan.

Timbalan Pengerusi Masjid Ar-Rahman, Datuk Abdul Halim Hassan berkata, perkara itu diberitahu Perdana Menteri ketika bersarapan bersama penduduk.

“Pada dasarnya beliau bersetuju untuk meluluskan peruntukan yang kami (Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman) minta bagi kerja naik taraf serta pembinaan beberapa prasarana di masjid seperti pembinaan kelas tahfiz al-Quran, pagar masjid dan tanah perkuburan.

“Masjid ini sudah 80 peratus kerja pembinaannya dan apabila siap pada Mac depan, ia mampu memuatkan 800 hingga 1,000 jemaah pada satu masa berbanding antara 500 hingga 600 jemaah saja sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Masjid Ar-Rahman mula dibina pada 1958 dan siap serta dirasmikan pada 1961 oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Disiarkan pada: January 18, 2017 @ 10:55am
d