mutakhir

Dapat perhatian kerajaan negeri

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Nasib yang menimpa Roslina Saari, 37, bersama tiga anaknya yang terpaksa menumpang teduh di sebuah tadika di Seremban 2, di sini, mendapat perhatian kerajaan negeri.

Roslina yang berasal dari Kuantan, Pahang menginap di tadika berkenaan sejak dua minggu lalu bersama anaknya, Nur Alia Natasya Md Suhaidi, 10, Lokman Hakim Md Suhaidi, 9, dan Nur Zulaika Md Suhaidi, 6, kerana tidak mampu menyewa rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Norhayati Omar berkata, pihaknya mengetahui mengenai keadaan empat beranak itu selepas kisah mereka disiarkan akhbar ini, kelmarin.

Beliau berkata, kunjungan mereka adalah untuk mengetahui masalah yang dihadapi dan mencari jalan penyelesaian termasuk berhubung dengan beberapa agensi berkaitan.

“Kami akan membantu Roslina memohon rumah di bawah Unit Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan untuk memberi rumah yang selesa dengan kadar sewa murah.

“Selain itu, kami juga memberi bantuan kanak-kanak bernilai RM300 sebulan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga terbabit, kelmarin.

Turut hadir Pemangku Pegawai JKM Seremban Azlina Mohd Salleh.

Dalam kunjungan itu, Norhayati turut menyampaikan sumbangan berbentuk kelengkapan tidur, peralatan mandi, makanan dan bantuan kewangan menerusi Tabung Bantuan Segera.

Sementara itu, Roslina berkata, dia tidak sangka ramai yang bersimpati dan tampil untuk membantu selepas kisahnya disiarkan Harian Metro dan tular di Facebook.

Harian Metro, kelmarin, melaporkan empat beranak terpaksa menumpang teduh di sebuah tadika di Seremban 2 berikutan tidak mampu menyewa rumah sejak berhijrah ke negeri ini, dua minggu lalu.

Disiarkan pada: January 18, 2017 @ 11:01am
d