mutakhir

Hanya dapat tatap wajah kaku ibu

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: “Saya rindu ibu kerana sudah tiga bulan tidak berjumpa, bagaimanapun paling menyedihkan apabila kini saya perlu menatap wajahnya buat kali terakhir,” kata Muhammad Izwan Fahmi Norly, 18, anak kepada rakyat Malaysia, Zainab Ahmad yang maut dalam kemalangan di Melbourne, Australia, Ahad lalu.

Kata Muhammad Izwan, arwah ibunya sumber inspirasi dalam hidupnya kerana selalu memberi nasihat untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjaga adiknya dengan baik selepas berpisah dengan bapanya, lima tahun lalu.

“Selepas itu, saya mengikut ibu ke Pulau Pinang kerana dia bekerja di kilang di situ, namun terpaksa kembali tinggal bersama ayah di Sungai Petani apabila ibu memaklumkan akan ke Australia.

“Sekarang saya sudah kehilangan orang tersayang yang selalu memberi pesanan berguna untuk diri dan adik. Nasib kami baik kerana masih mempunyai ayah,” katanya.

Pada 15 Januari lalu, Zainab yang bekerja sebagai pemetik buah di Australia maut dalam kemalangan di antara Jalan Elmore-Raywood dan Jalan Bendigo-Tennyson di Kamarooka, 33 kilometer di utara Bendigo, Kamarooka selepas kereta Toyota yang dinaiki bertembung dengan kereta Volkswagen.

Namun, rakannya yang juga pemandu Toyota itu hanya cedera dan dihantar ke Hospital Bendigo.

Sementara itu, Muhammad Izwan berkata, dia akan ingat pesanan arwah ibunya dan tidak akan mengabaikan pelajaran.

“Saya janji dengan ibu akan belajar elok-elok dan akan mendapat kerja suatu hari nanti.

“Adik juga akan saya jaga dengan baik dan sama-sama dengannya harungi cabaran hidup,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2017 @ 11:14am
d