mutakhir

Warga Rohingya buat saringan penyakit tibi [METROTV]

Oleh myMetro

Kulai: Sebagai usaha memastikan penyakit batuk kering atau tibi (tuberculosis) tidak menular dalam kalangan warga asing terutama Rohingya di Kulai Besar di sini, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai membuat saringan penyakit tibi ke atas golongan itu, semalam.

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Kulai, Dr Azah Adam berkata, saringan dilakukan berikutan terdapat satu kes seorang lelaki Rohingya yang berusia 20-an menghidap penyakit batuk kering baru-baru ini.

“Kita adakan saringan hari ini berikutan ada seorang penduduk Rohingya di sini menghidapi penyakit tibi. Sekarang lelaki itu dalam fasa rawatan rapi di klinik kami bagi memastikan masalah penyakit tidak bertambah teruk.

“Kita membuat saringan ke atas 70 peratus orang di sekeliling yang ada berurusan dengan pesakit tibi itu kerana mereka adalah golongan berisiko dijangkiti,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, pihaknya akan kembali dalam masa tiga hari selepas ujian saringan dijalankan bagi mengetahui keputusan penyakit berbahaya yang boleh membunuh itu.

“Selepas mendapat suntikan ubat saringan di lengan, dalam masa tiga hari kami datang untuk melihat bacaan hasil saringan. Sekiranya kesan suntikan melebihi 10 milimeter orang itu berisiko dijangkiti penyakit tibi,” katanya.

Azah berkata, individu yang positif dijangkiti tibi akan dibawa ke hospital untuk melakukan ujian X-ray dan diambil sampel kahak untuk ujian sebelum mendapat rawatan sewajarnya.

“Antara tanda-tanda awal sakit batuk kering ialah batuk selama satu minggu atau lebih, batuk berdarah, demam waktu malam, susut berat badan, hilang selera makan dan berpeluh ketika tidur malam,” katanya sambil menambah selain saringan tibi, pejabat kesihatan juga membuat saringan untuk penyakit Malaria dan kusta.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai akan membuat saringan tibi ke atas populasi lebih besar iaitu 500 penduduk Rohingya termasuk kanak-kanak berusia dua tahun ke atas yang menetap di Jalan Sekolah Cina di sini.

Menurutnya, selain masyarakat Rohingya, pihaknya juga melakukan saringan ke kilang-kilang sekitar kawasan Kulai bagi melakukan saringan terhadap warga asing yang bekerja di situ.

Disiarkan pada: January 18, 2017 @ 11:16am
d