mutakhir

Hanya perlu cuci tangan [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Bukan sekadar hantar, malah siap dihidang. Hanya perlu cuci tangan untuk menikmatinya.

Itu gaya baru menikmati makan tengah hari, malam atau majlis tertentu disediakan ‘Comot2’ yang memudahkan lagi kehidupan seharian.

Pengasas ‘Comot2’ Arweda Ahmad, 40, berkata, dia memulakan perniagaan hantar dan hidang makanan laut ala ‘shellout’ bersama kakaknya Arwena Ahmad, 42, sejak Julai lalu.

“Saya dan kakak sebelum ini menjual pakaian wanita yang kami import dari luar negara, selepas beberapa tahun rasa bosan dan ingin beralih kepada perniagaan makanan dan minuman.

“Pada minggu pertama hanya empat tempahan diterima, namun selepas mempromosikannya di Instagram ‘Comot2’, Alhamdulillah semakin banyak tempahan dalam tempoh sehari untuk makan di rumah atau di pejabat, sama ada daripada individu atau syarikat.

“Harga kami tidak letak mahal, hanya RM150 untuk hidangan enam hingga lapan orang,” katanya.

Menurutnya, perniagaan yang bermula dengan ‘suka-suka’ itu mendapat sambutan sehingga suaminya, Razali Othman, 49, terpaksa berhenti kerja untuk membantunya.

“Suami saya yang bekerja sebagai pengawal peribadi terpaksa berhenti kerja untuk membantu kerana banyak tempahan diterima termasuk daripada artis,” katanya.

Sementara itu, Arwena berkata, kesegaran makanan diutamakan supaya pelanggan puas hati.

“Kami mencari bahan masakan seawal jam 5 pagi setiap hari. Menu nampak mudah iaitu ‘butter’ dan ‘hot spicy’, namun bahan seperti udang, ketam, sotong, pepahat dan kupang mesti segar.

“Selepas ke pasar, kami akan habiskan masa antara empat hingga lima jam di dapur rumah kami di Gombak untuk masak sebelum dihantar dan dihidang kepada pelanggan sekitar Lembah Klang,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2017 @ 11:18am
d