mutakhir

Mampu bela wanita teraniaya

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Penggubalan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) mampu membela nasib wanita yang teraniaya kerana akta berkenaan akan meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akta pertama kali dipinda pada 1984 itu dilihat perlu digubal lagi bagi menaikkan nilai hukuman berkaitan jenayah orang Islam.

Katanya, sebagai contoh, nilai hukuman RM5,000 ditetapkan undang-undang dalam Mahkamah Syariah bagi kesalahan suami tidak membayar nafkah kepada isteri berbeza antara zaman dulu dan sekarang.

“Suami tidak membayar nafkah sudah menjadi perkara lazim yang berlaku pada hari ini selepas setiap kali adanya perceraian.

“Mahkamah Syariah pula hanya boleh menghukum si suami berkenaan dengan denda RM5,000 saja, ia secara tidak langsung menyebabkan penganiayaan dan kezaliman kepada si isteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Kontrak Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Pulau Pinang di sini, semalam.

Beliau berkata, RUU355 yang sudah diguna pakai selama 32 tahun diharap dapat dipinda dalam tempoh terdekat, sekali gus membolehkan Mahkamah Syariah menaikkan nilai hukuman bagi membantu mendapatkan hak wanita teraniaya dan membela nasib mereka yang dizalimi.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan negeri ini diminta menaikkan elaun guru KAFA seperti yang dilakukan Kerajaan Persekutuan tanpa memikirkan soal politik sebaliknya bertujuan menjaga kebajikan.

“Terdahulu, kerajaan negeri ini pernah menguar-uarkan mahu menaikkan elaun itu dan ini untuk kebajikan rakyat di sini.

“Jadi, kita harap kepemimpinan negeri ini dapat menaikkan lagi elaun kepada guru KAFA,” katanya.

Elaun guru KAFA meningkat RM100 melalui Bajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadikan elaun terkini yang disumbang Kerajaan Persekutuan kepada RM900 sebulan manakala kerajaan negeri menyumbang RM50 sebulan.

Disiarkan pada: January 19, 2017 @ 10:28am
d