mutakhir

Desak Myanmar beri kebenaran akses tanpa halangan

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Malaysia akan terus mendesak kerajaan Myanmar supaya membenarkan akses tanpa halangan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya di Rakhine, tegas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, perkara itu adalah antara tiga perkara utama yang akan dipastikan Kuala Lumpur terkandung dalam resolusi sempena mesyuarat khas peringkat menteri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Rohingya, di sini hari ini.

“Resolusi lain ialah kita akan mendesak pengiktirafan ke atas langkah yang diambil oleh kerajaan Myanmar untuk memperbaiki keadaan komuniti yang terdedah kepada penindasan termasuk minoriti Rohingya Islam di wilayah Rakhine.

“Malaysia juga menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan keganasan dan pencabulan hak asasi manusia ke atas minoriti terbabit dan penularan kesannya akibat perbuatan itu,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan terakhir bagi Mesyuarat Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar OIC Mengenai Keadaan Masyarakat Islam Rohingya di Myanmar di sini, semalam.

OIC mempunyai 57 negara anggota.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menyampaikan ucaptamanya sebelum semua menteri luar terbabit bermesyuarat bagi mencapai kata sepakat dalam dua dokumen bagi sesi berkenaan.

Anifah berkata, dokumen terbabit ialah Resolusi Situasi Umat Islam Rohingya di Myanmar dan Pernyataan Akhir Sesi Luar Biasa berkenaan.

Dalam pada itu, kata beliau, mesyuarat terbabit adalah inisiatif Malaysia bagi membincangkan nasib umat Islam yang ditindas dan dibunuh di Myanmar ketika ini.

Katanya, masalah Rohingya bukan isu baru dan dalam beberapa bulan lalu, dunia menyaksikan kesan akibat tindakan di negara terbabit melalui penghijrahan beramai-ramai masyarakat Islam terbabit ke Bangladesh.

“Ini masalah yang diambil berat oleh OIC memandangkan ia memberi kesan kepada ummah, yang menjadi tanggungjawab OIC untuk melindunginya.

“Jadi kita bincangkan masalah ini kerana ia perlu tindakan segera,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2017 @ 10:42am
d