mutakhir

Asrama sampah

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Pengurusan sebuah kilang di daerah ini mengarahkan pekerja warga Nepal menjalankan gotong-royong membersihkan sampah di persekitaran tempat penginapan di Kawasan Perindustrian Dioh, di sini, selepas masalah itu tular dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Wakil pengurusan kilang yang enggan dikenali berkata, pihaknya mengambil tindakan awal memanggil penghuni asrama melakukan aktiviti berkenaan selepas ia menjadi kritikan hebat masyarakat dan penduduk sekitarnya.

“Bangunan asrama dua tingkat ini dihuni 80 pekerja warga Nepal sejak tiga tahun lalu.

“Sebelum ini, pentadbir kilang meminta mereka memelihara kebersihan kerana lokasi asrama berhampiran taman perumahan.

“Namun sikap degil dan tiada kesedaran sivik mengakibatkan kawasan ini kotor berikutan ada segelintir membaling sampah dari tingkat atas.

“Tabiat kurang baik ini mungkin terbawa-bawa dari negara asal,” katanya.

Menurutnya, beliau menerima aduan berkaitan pakaian dijemur di luar bangunan selain menghadap jalan raya membabitkan pekerja warganegara berkenaan.

“Ruang asrama ini terhad, namun saya menasihatkan mereka lebih sistematik dari segi menyidai pakaian supaya lebih kemas dan teratur,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Pilah dan Jempol, Khalid Ujang ketika dihubungi berkata, kawasan terbabit di bawah pentadbiran Kawasan Rukun Tetangga Seberang Pekan.

“Kami pernah memaklumkan kes ini kepada pengurusan kilang namun perkara sama masih berulang. Skim Ronda Sukarela pernah menegur sikap buruk itu tetapi mereka tidak mengendahkannya

“Mereka gemar melepak di luar asrama hingga lewat malam sekali gus boleh mengganggu penduduk berhampiran.

“Meskipun belum pernah terjadi perkara tidak diingini namun kita perlu berwaspada kerana jika tidak dikawal dari sekarang, mungkin boleh menjejaskan keselamatan penduduk,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2017 @ 10:53am
d