mutakhir

Tarik balik laporan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: “Saya sudah tarik balik laporan polis,” kata suami kepada seorang wanita yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mencederakan lelaki itu.

Lelaki berusia 32 tahun terbabit mengangkat tangan dan bangun memberitahu mahkamah mengenai tindakannya menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap isterinya selepas terkejut mendengar pengakuan salah dibuat wanita itu.

Terdahulu, tertuduh, Nadia Ilona Charles, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng yang mengendalikan kes memohon penangguhan hukuman bagi meneliti semula laporan polis yang ditarik balik.

Mengikut pertuduhan, Nadia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada suaminya di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik Nilai, Nilai, dekat sini.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 6.15 petang, 6 Januari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes yang ditetapkan pada 31 Januari ini.

Disiarkan pada: January 19, 2017 @ 11:02am
d