mutakhir

Datuk abai kuda didenda

Oleh Sarah Zulkifli 

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan mengabaikan seekor kuda peliharaannya tanpa diberi penjagaan kira-kira enam bulan sehingga menyebabkannya sakit di kawasan Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, di sini, tahun lalu.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Norhisam Mohamed, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) apabila dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

OKS yang sudah diisytiharkan bankrap itu juga diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kesakitan dan kesengsaraan terhadap kuda jantan bernama Lentini yang berusia 23 tahun baka Dutch Warmblood.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di kandang kuda Blok E, dalam kawasan Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Jalan Bukit Kiara Off, Jalan Damansara, di sini jam 12.40 tengah hari, pada 24 Mei tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Norhisam yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan tidak mengetahui kudanya itu sakit dan tidak membuat penganiayaan.

“Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana saya sudah diisytihar muflis, ” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Hasiah Musa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap OKS.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian iaitu pada 24 Mei tahun lalu Jabatan Perkhidmatan Veterinar menerima aduan daripada kakitangan pusat jagaan kuda berkenaan yang mengatakan haiwan milik OKS sakit.

Bertindak atas aduan itu, sepasukan pegawai daripada Jabatan Veterinar ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan sebelum mendapati kaki kiri kuda jantan itu cedera selain dalam keadaan monyok yang dipercayai sakit sejak Januari tahun sama.

Disiarkan pada: January 20, 2017 @ 10:53am
d