mutakhir

Polis sahkan terima laporan kes dera

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Tiga kanak-kanak diikat kaki, tangan dan mulut mereka menggunakan kain berwarna putih. Itu antara gambar tular didakwa kejadian dera berlaku di sebuah taska di Seksyen 15, Bangi.

Susulan itu polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang yang dihubungi mengesahkan sudah menerima laporan kes penderaan kanak-kanak itu

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.

Menurutnya, gambar yang tersebar dan menjadi tular di laman sosial didakwa kes dera di taska itu akan disiasat.

“Setakat ini, pihak kami belum dapat mengesahkan kesahihan gambar yang tersebar itu.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Berdasarkan gambar dan kandungan mesej yang tersebar menerusi laman sosial itu, empat kanak-kanak dalam keadaan baring didakwa berada di dalam taska terbabit.

Turut kelihatan tiga daripada kanak-kanak diikat tangan kaki mereka menggunakan kain berwarna putih.

Di dalam mesej itu, individu yang menyebarkan gambar berkenaan meminta orang ramai menyebarkan kejadian penderaan kanak-kanak di taska didakwa berada di Seksyen 15, Bangi.

Selain itu, individu itu juga meminta ibu bapa supaya berhati-hati dan memilih tempat selamat untuk menghantar anak mereka.

Disiarkan pada: January 20, 2017 @ 10:56am
d