mutakhir

Cekup terus dakwa

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Tiada lagi saman, terus dakwa ke mahkamah. Itu tindakan bakal dikenakan kepada pengguna yang melakukan tujuh kesalahan utama sepanjang operasi penguatkuasaan sempena Tahun Baru Cina bermula 21 Januari hingga 5 Februari.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, sebelum ini, pendakwaan terhadap pesalah jalan raya hanya membabitkan mereka yang memandu di lorong kecemasan.

“Namun, enam lagi kesalahan utama juga akan didakwa di mahkamah jika memotong garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit (memandu secara berbahaya), tidak memakai topi keledar serta tidak memakai tali pinggang keledar.

“Menerusi langkah ini, pesalah akan disaman dan tidak lagi dikenakan kompaun tetapi berdepan denda maksimum RM2,000 selepas disabitkan kesalahan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun, Nadzri berkata, pihaknya akan mengenal pasti maklum balas yang diterima berhubung tindakan itu sama ada ia diteruskan selepas Tahun Baru Cina atau sebaliknya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut memberi tumpuan kepada tujuh lokasi kerap berlaku kemalangan pada operasi penguatkuasaan Tahun Baru Cina dengan menggunakan kamera keselamatan mudah alih bagi mengesan pemandu yang memandu melebihi had laju.

“Lokasi ini membabitkan KM151.4 Lebuhraya PLUS (Pagoh) arah utara, KM145.2 Lebuhraya PLUS (Pagoh) arah selatan, KM255.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 arah timur dan KM288.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 arah utara.

“Selain itu, KM299.9 Lebuhraya PLUS (Kampar) arah utara, KM95 Lebuhraya PLUS (Kuala Muda) arah selatan dan KM17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kenderaan berat turut dilarang menggunakan jalan raya pada 26, 27 dan 31 Januari serta 1 Februari melainkan lori tangki minyak dan yang membawa makanan.

“Pemeriksaan teknikal bas akan dibuat di semua 77 depoh dan 28 terminal utama seluruh negara bermula 21 Januari hingga 5 Februari bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan berkaitan pemandu kedua, buku log dan pemanduan melebihi lapan jam dalam tempoh 24 jam.

“Pemeriksaan bas ini tidak dibuat secara rawak tetapi semua akan melaluinya dan JPJ turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Narkotik dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalankan ujian air kencing bagi mengesan pemandu mengambil dadah,” katanya.

Nadzri berkata, pegawai JPJ turut ditempatkan di empat lokasi iaitu dua di selatan dan dua di utara yang akan menahan bas ekspres untuk melalui pemeriksaan serta dipilih secara rawak.

Bagi kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres, Nadzri berkata, tindakan saman tidak lagi dibuat selepas tiba ke destinasi kerana langkah berkenaan disifatkan lambat.

“Pegawai JPJ terbabit akan menyaman pemandu di dalam bas berkenaan dengan memintanya berhenti terlebih dahulu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan penyamaran ini bagi mengesan mereka yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ops Khas Motosikal turut diadakan secara serentak di seluruh negara pada 25 dan 27 Januari sebelum perayaan Tahun Baru Cina serta 1 dan 4 Februari selepas perayaan.

Disiarkan pada: January 20, 2017 @ 11:06am
d