mutakhir

Merana 20 minit kaki tersepit jeriji besi longkang

Oleh myMetro

Gombak: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gombak di sini, terpaksa menahan kesakitan lebih 20 minit apabila kaki kanannya tersepit pada jeriji besi longkang.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi semalam, mangsa dipercayai berjalan di atas jeriji besi longkang sebelum tergelincir dan kakinya tersepit di celah jeriji besi longkang itu.

Difahamkan pengawal keselamatan yang berada berhampiran lokasi kejadian terdengar jeritan mangsa sebelum melaporkannya kepada guru sekolah itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Gerakan Operasi pada jam 9.24 pagi dan sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, mangsa didapati sedang menangis sambil ditenangkan pengawal keselamatan,” katanya.

Menurutnya, remaja perempuan itu tergelincir menyebabkan kakinya tersepit sehingga paras betis di celah jeriji besi longkang.

“Beberapa cikgu turut bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu. Kaki pelajar itu akhirnya berjaya dikeluarkan selepas anggota bomba menggunakan alat pemotong hidraulik untuk melonggarkan besi longkang itu,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2017 @ 11:09am
d