mutakhir

Prosedur ketat

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Bagi memastikan penuntut asing yang berhasrat melanjutkan pengajian di Malaysia benar-benar kompeten dan layak, mereka perlu menjalani pelbagai saringan akademik dan tapisan keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sentiasa menekankan kualiti pendidikan yang ditawarkan serta kebajikan penuntut asing, tetapi pada masa sama perlu memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

“Mengambil kira isu keselamatan global yang tidak menentu, kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif iaitu saringan awal sebelum kemasukan, operasi pemantauan semasa keberadaan dalam negara dan penguatkuasaan bersepadu membabitkan semua agensi dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat Peringkat Tertinggi Mengenai Pengambilan Pelajar Asing yang diadakan semalam dan turut dihadiri wakil dari KDN, Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Mesyuarat yang membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) turut membincangkan secara terperinci kemasukan penuntut asing, hala tuju dan perkembangan semasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan sentiasa mengalakkan kedatangan penuntut asing ke Malaysia bagi meningkatkan imej negara dalam bidang pendidikan.

Katanya, ia selaras hasrat kerajaan menjadikan Malaysia hab pendidikan serantau dengan mensasarkan 200,000 penuntut asing menjelang 2020.

“Sehingga kini, terdapat 159,172 penuntut antarabangsa yang mengikuti pengajian di pelbagai institusi pendidikan di Malaysia.

“Jumlah ini membabitkan pengaliran masuk RM7.8 bilion setahun kepada ekonomi negara hasil perbelanjaan penuntut yang mengikuti pengajian di sini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, bagi melancarkan proses kemasukan mereka, EMGS ditubuhkan sebagai Syarikat Berhad Mengikut Jaminan (SBMJ) yang diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (ketika itu) atau Kementerian Pendidikan Tinggi (ketika ini).

Menurutnya, ia berperanan menjalankan fungsi pemasaran, promosi dan pengurusan pengambilan penuntut antarabangsa ke Malaysia, selain bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan berperanan sebagai pusat sehenti bagi urusan pelajar antarabangsa.

“Menerusi jalinan kerjasama antara agensi, pengurusan penuntut asing di Malaysia dapat dijalankan secara cekap dan sistematik.

“Selain itu, aktiviti promosi di peringkat global akan dipergiatkan bagi menarik minat golongan sasaran untuk melanjutkan pelajaran di sini dengan pelbagai pilihan kursus berkualiti tinggi dan menepati piawaian antarabangsa,” katanya.

Justeru, katanya prosedur sedia ada harus diperkemaskan bagi melancarkan proses kemasukan penuntut asing ke Malaysia.

Disiarkan pada: January 20, 2017 @ 11:22am
d