mutakhir

Belaian kasih, doa ibu

Oleh Nur Syazwana Mansor

Yan: Usap ubun anak sambil berselawat dan mendoakan kejayaan mereka adalah amalan yang saya lakukan setiap pagi sebelum mereka ke sekolah,” kata suri rumah, Rohani Shafie, 46, ibu kepada Nurul Najwa Abdul Halim, 19, yang memperoleh sijil pangkat Mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan semalam.

Anaknya seorang daripada dua calon STAM dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar, di sini, yang memperoleh Mumtaz (cemerlang).

Difahamkan seramai 10 daripada 38 calon dari SMA Nahdzah berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan STAM 2016, dengan dua pelajar memperoleh keputusan pangkat Mumtaz dan lapan orang lagi memperoleh keputusan pangkat Jayyid Jidan (sangat baik).

Rohani berkata, dia membaca selawat dan doa penerang hati di ubun kepala Nurul Najwa setiap kali sebelum dia ke sekolah bertujuan sebagai penenang hati dan mudah untuk menuntut ilmu.

Ibu kepada enam anak itu berkata, sentuhan dan kasih sayang ibu menjadikan anak-anak berasa tenang dan gembira untuk ke sekolah sekali gus memudahkan mereka menerima ilmu yang diajar oleh guru.

“Saya mengamalkan amalan ini sejak anak pertama hingga yang bongsu lagi dan syukur mereka juga berjaya dalam pelajaran masing-masing.

“Selain itu, saya juga sentiasa memberi galakan dari segi moral untuk mereka mengulang kaji pelajaran dan sentiasa memantau prestasi pelajaran mereka dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di SMA Nahdzah, Bukit Besar, di sini semalam.

Dalam pada itu, Nurul Najwa berkata, dia amat bersyukur dengan keputusan yang diperolehnya dan berhasrat untuk menyambung pelajaran ke Mesir dalam bidang Syariah dan Undang-undang bagi mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang peguam syariah.

Anak keempat itu berkata, kejayaannya juga adalah hasil usaha keras serta doa daripada ibu bapa dan guru yang tidak pernah jemu mendidik sehingga berjaya.

“Saya bersyukur kerana usaha saya ini berhasil mencapai keputusan yang saya impikan dan amat berterima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan yang banyak membantu saya selama ini,” katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang pangkat Mumtaz, Mohamad Farid Majdi Yusop, 19, berkata, niat belajar kerana ingin mendapat keredaan Allah adalah kunci utama kejayaannya.

Katanya, niat yang betul kerana Allah akan membantu dalam memudahkan urusan menuntut ilmu dan mencapai sasaran yang diinginkan.

Anak bongsu dari lima beradik ini berkata, dia juga menjadikan bapanya, Yusop Majid, 64, yang pernah bertugas sebagai pegawai pejabat agama dan juga imam masjid sebagai idola selain ingin mengikut jejak kakak dan abangnya yang kini sedang menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir.

“Saya bercita-cita menjadi pensyarah universiti dan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiah,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMA Nahzah, Adenan Othman, berkata, keputusan STAM bagi sekolah terbabit menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

Katanya, Gred Purata Sekolah bagi tahun ini adalah sebanyak 2.97 berbanding 3.08 tahun lalu, dengan peningkatan peratus pelajar lulus daripada 69.29 peratus tahun lalu kepada 76.32 peratus tahun ini.

Disiarkan pada: January 20, 2017 @ 11:32am
d