mutakhir

Kedai kanopi jual nombor ekor [METROTV]

Oleh myMetro

Kuala Terengganu: Aktiviti perjudian nombor ekor berselindung di sebalik kedai pemasangan kanopi di Wakaf Mempelam, di sini, terbongkar apabila premis itu diserbu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam Ops Judi, kelmarin.

Dalam serbuan jam 5.30 petang itu, lima lelaki berusia antara 27 hingga 59 tahun dicekup ketika asyik membeli nombor ekor di premis terbabit.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguat Kuasa Syariah JHEAT Nik Zulhaiza Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan intipan dilakukan pihaknya mengenai kegiatan di premis itu selepas menerima maklumat ia menjadi tumpuan kaki judi dalam kalangan orang Islam.

Menurutnya, pihaknya terlebih dulu melakukan pemantauan sebelum menyerbu premis sebelum menahan lima lelaki terbabit.

“Selain menahan lima lelaki itu, kami menyita telefon bimbit, resit jualan nombor ekor dan wang tunai RM96,” katanya.

Nik Zulhaiza berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat JHEAT untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Disiarkan pada: January 20, 2017 @ 11:36am
d