mutakhir

Wanita 'bermisai' mengaku kekasih

Oleh myMetro

Melaka: Seorang lelaki bermisai dan bersuara garau yang menyamar sebagai wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan memperdaya seorang wanita hingga menyerahkan wang tunai lebih RM7,500 dengan menyamar sebagai teman wanita kepada anak lelaki mangsa, tahun lalu.

Tertuduh, Cha Chee Meng, 34, dari Selandar, Jasin, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di depan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, Cha didakwa menyamar sebagai wanita India yang tidak wujud atas nama Nishalini hingga mendorong K Ariyanachi, 47, menyerahkan wang tunai RM7,500 secara berperingkat sekitar September hingga Disember 2016 sebagai pembiayaan pengajian di United Kingdom (UK).

Bagi kesalahan dilakukan di Taman Rambai Jaya, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 419 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintendan Nora Yaacob mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 kepada tertuduh.

Namun, lelaki itu merayu supaya jumlah jaminan terhadapnya dikurangkan dengan memberi alasan tidak mempunyai pekerjaan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Analia membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Disiarkan pada: January 20, 2017 @ 11:40am
d