mutakhir

Ke mana 20 sen kami?

Oleh Icka S Hassan

Shah Alam: Kerajaan Selangor perlu meminta peniaga menggunakan beg kertas sebagai alternatif gantian sempena Hari Tanpa Beg Plastik selama tujuh hari seminggu yang mula dilaksanakan awal bulan ini.

Bagi pengguna, Abdul Rashid Suki, 62, cara itu bukan saja menjimatkan wang orang ramai, malah berkesan untuk memastikan alam sekitar dipulihara.

“Kenapa mewajibkan pengguna membayar 20 sen untuk satu plastik? Adalah lebih baik kerajaan negeri mengambil inisiatif menggunakan beg kertas kerana langkah ini menguntungkan pengguna dan pembeli.

“Walaupun alasan caj 20 sen untuk mengurangkan penggunaan beg plastik, tetapi cara itu dilihat tidak berkesan sebaliknya membebankan pengguna,” katanya ketika ditemui selepas Program Tinjauan Beg Plastik anjuran UMNO Shah Alam dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, semalam.

Seorang lagi pengguna, Khairul Kazama Aziz, 30, berkata, masyarakat ingin mengetahui saluran wang rakyat yang dikenakan caj 20 sen bagi setiap plastik memandangkan sebelum ini ia percuma.

“Bagi saya, ia tidak menjadi masalah kerana masyarakat sudah diberi pendedahan untuk membawa beg-eko sendiri atau kotak dari rumah sekiranya ke pasar raya.

“Namun, apa yang kami tidak puas hati adalah ke mana perginya wang 20 sen itu disalurkan.

“Sekiranya ke arah kebajikan, tampil dan tunjukkan bukti kepada masyarakat kerana kami tidak mahu ditipu kerana cara ini hanya menguntungkan pihak tertentu tetapi rakyat yang berpendapatan rendah terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur, Pengerusi Biro NGO Shah Alam, Datuk Nor Hisham Ses, menyeru kerajaan negeri terutama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkaji dan meneliti semula perkara itu serta menetapkan alternatif baru.

Katanya, tindakan itu mengelirukan pengguna dan rakyat Selangor tetapi ia memberi keuntungan berganda kepada penjual.

“Jika mahu undang-undang ini dikuatkuasa, ia harus menyeluruh. Jelaskan dengan lanjut mengenai kaedah wang hasil jualan plastik itu disalurkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2017 @ 5:18am
d