mutakhir

Kem motivasi sambil telanjang

Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Shahrul Nizam Mohamad

Bentong: Kem motivasi bertukar kem tidak bermoral apabila 39 peserta lelaki kebanyakan pelajar didapati berbogel ketika melakukan aktiviti ‘All Out’ di padang permainan sebuah resort, di sini, kelmarin.

Difahamkan, permainan itu diadakan jam 5.30 petang apabila peserta lelaki berusia 19 hingga 23 tahun dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka dikehendaki membuat garisan panjang menggunakan alatan yang terlekat pada badan.

Bagaimanapun, ketika permainan berlangsung ada peserta menanggalkan pakaian untuk membentuk garisan panjang.

Keadaan itu berlarutan apabila mereka menanggalkan keseluruhan pakaian sehingga telanjang bulat sambil disaksikan sembilan fasilitator termasuk dua wanita yang ditugaskan menyelia peserta terbabit.

Namun, aktiviti itu disedari orang awam yang menganggap ia tindakan biadab, sekali gus mencemar imej negeri ini yang baru saja melancarkan Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017, baru-baru ini.

Orang awam yang tidak berpuas hati menghubungi polis jam 6.12 petang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pihaknya melakukan siasatan dan intipan berhubung laporan itu dan mengesahkan ia benar-benar berlaku.

Beliau berkata, anggotanya melakukan serbuan pada jam 12.30 tengah malam semalam dan menahan 39 peserta terbabit bersama sembilan fasilitator termasuk dua wanita yang menyelia program motivasi itu.

“Polis terlebih dulu melakukan pemantauan ketika mereka menjalankan aktiviti di dalam dewan resort berkenaan dengan lengkap berpakaian sebelum serbuan dan tangkapan dilakukan.

“Seramai 48 individu ditahan termasuk dua wanita, peserta terdiri daripada 39 lelaki berusia 19 hingga 23 tahun.

“Seramai 23 peserta yang ditahan pelajar manakala 16 lagi bukan pelajar,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati program motivasi itu dirancang selama tiga hari bermula pada Jumaat lalu hingga semalam.

Katanya, ia dikendalikan sebuah syarikat perkhidmatan dan peserta dihantar ibu bapa mereka untuk mengikuti program motivasi yang dianjurkan syarikat berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan keterangan ketua penyelia aktiviti itu, kejadian berlaku apabila peserta menanggalkan pakaian untuk membentuk garisan panjang dalam satu permainan dinamakan ‘All Out’.

“Siasatan turut mendapati peserta terbabit menginap di resort berkenaan.

“Pengurus resort memaklumkan pihaknya hanya menyediakan kemudahan seperti makanan, peralatan dan tempat tinggal bagi peserta kem motivasi itu.

“Mereka juga dimaklumkan mengenai acara program dijalankan syarikat berkenaan namun tidak dinyatakan secara terperinci apa aktiviti itu,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, siasatan berhubung kejadian itu dijalankan dan semua yang ditahan direman tiga hari di lokap Balai Polis Bentong, untuk membantu siasatan. Bagaimanapun, semua 48 individu yang ditahan itu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana berkelakuan lucah di tempat awam,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2017 @ 5:16am
d