mutakhir

Asam pedas Razlinda 'comel'

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: “Sejak gambar rakan saya masak asam pedas tular di laman sosial, ada juga pelanggan berkunjung ke gerai itu untuk mencuba asam pedas sambil melihatnya memasak namun tiada seorang pun mengganggunya selama ini,” kata pemilik Dapur Kak Poo, Faizal Musa Kuti, 32.

Menurut Faizal Musa, rakan baiknya itu, Razlinda Rohaizad tidak dinafikan memiliki paras rupa yang cantik namun pihaknya mendapatkan khidmat wanita berkenaan sebagai tukang masak kerana asam pedas dimasak memang enak.

“Kami tidak pernah berniat cuba ‘menjual’ paras rupanya. Dalam tempoh dua minggu beroperasi, kami bersyukur kerana gerai dikunjungi lebih 50 pelanggan setiap hari.

“Semuanya kuasa media sosial kerana selepas berita gerai makan kami tular, kami tidak menang tangan melayan pelanggan. Malah, sejak gambar Razlinda memasak tular di Facebook (FB), gerai itu semakin dikenali ramai,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Kemboja, Kampung Sulaiman Menteri di sini, semalam.

Menurut Faizal Musa, dia sengaja mengusik Razlinda kerana sejak gambarnya tular, wanita berkenaan mungkin bertemu jodoh tidak lama lagi.

Katanya, tidak salah jika ia menjadi kenyataan kerana Razlinda masih bujang namun buat masa ini, mereka mahu berusaha untuk berjaya sebagai usahawan.

Faizal Musa berkata, menu paling digemari ramai asam pedas ikan merah malah mereka menerima tempahan termasuk daripada VVIP.

“Ada juga yang memborong masakan kami. Asam pedas kami menggunakan resipi ibu saya yang kini tinggal di Pandan dan kami turut menawarkan 30 jenis masakan kampung,” katanya yang juga bekas pengurus restoran makanan segera di Singapura.

Disiarkan pada: January 23, 2017 @ 9:57am
d