mutakhir

Pancing duit masjid

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Linangan air mata sedih seorang ibu sarat mengandung mengiringi hukuman penjara enam bulan serta denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, terhadap anaknya, Mohammad Faris Danial Faizal, 21, selepas didapati bersalah mencuri wang tunai RM162 di dua masjid dan surau di daerah ini bersama dua lagi rakannya.

Majistret, Raja Noor Adillah Raja Mahyaldin memutuskan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohamad Amirul Ashraf Jaafar Sidek, 25, Mohd Nurman Hakim Ahmad Roslan, 25 dan Mohammad Faris Danial mengaku bersalah atas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Amirul Ashraf yang juga bapa dua anak dan Mohd Nurman Hakim didakwa dengan niat bersama mencuri wang tabung derma permaidani masjid milik Masjid Al-Ubudiah, Seksyen 19, di sini, berjumlah RM100 pada jam 5.07 petang, 31 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Amirul Ashraf dan Mohd Nurman Hakim yang sudah berkahwin itu didakwa dengan niat bersama cuba untuk mencuri wang tabung milik surau Seksyen 23 di sini, dengan cara pancing menggunakan dawai besi yang diubah suai jam 6.05 petang, 30 Disember lalu.

Pertuduhan ketiga pula mendakwa Mohamad Amirul Ashraf dan Mohammad Faris dengan niat bersama mencuri wang tabung Masjid Munawwarah, Seksyen 27, di sini, dengan cara pancing menggunakan dawai besi berjumlah RM62 jam 4.30 pagi, 16 Januari lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Raja Noor Adilla memutuskan ketiga-tiga tertuduh dikenakan penjara lima bulan jika gagal membayar denda dan hukuman berjalan serentak.

Ketiga-tiga tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Sebelum itu, Peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon hukuman yang ringan kerana semuanya sudah insaf dan mahu berubah selain tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, ketiga-tiganya tidak mempunyai pekerjaan dan berasal daripada keluarga susah selain dua daripadanya iaitu Mohamad Amirul Ashraf mempunyai dua anak berusia empat tahun dan empat bulan manakala Mohd Nurman Hakim yang diberhentikan kerja sebagai mekanik menunggu cahaya mata pertama.

“Mohammad Faris masih bujang dan anak kedua daripada sembilan beradik kini hanya membantu ibunya menjual burger,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li memohon hukuman setimpal mengambil kira tertuduh seorang yang beragama Islam tidak sewajarnya mencuri di dalam surau selain faktor kepentingan awam.

Disiarkan pada: January 24, 2017 @ 5:50am
d