mutakhir

Hubungan ATM, AS tidak terjejas

Kuantan: Hubungan ketenteraan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Amerika Syarikat (AS) tidak terjejas walaupun berlaku perubahan tampuk pemerintahan negara itu dengan pelantikan Presiden, Donald Trump.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, setakat ini hubungan ketenteraan pihaknya dengan AS masih sama seperti sebelum ini.

“Hubungan bilateral ketenteraan kedua-dua negara masih di peringkat sama, berdasarkan garisan terma yang sudah dipersetujui,” katanya dalam sidang media selepas Perbarisan Perutusan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-19 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, semalam.

Hadir sama Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Panglima Tentera Laut ,Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi berkata, kekangan kewangan tidak akan menjejaskan operasi ketenteraan sebaliknya memerlukan kebijaksanaan untuk melakukan pendekatan berhemah dan penyesuaian semula supaya sesuai dengan keadaan semasa.

Disiarkan pada: January 24, 2017 @ 6:04am
d