mutakhir

Pukat ranap

Oleh Hasbullah Azhar

Melaka: “Masuk kali ini sudah lima kali pukat saya rosak akibat dilanggar kapal korek yang mengorek pasir di perairan ini. Dalam lima kejadian itu, saya mengalami kerugian dianggarkan RM9,000.

“Setiap kali kejadian membabitkan beberapa pukat, saya tidak tahan dan berharap pihak berkuasa ambil tindakan segera untuk atasi masalah ini,” kata Aziz Japar, 52, seorang daripada nelayan di Tanjung Kling, di sini, mendakwa terjejas akibat kapal mengorek pasir yang beroperasi pada waktu malam.

Katanya, berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab operator kapal terbabit, dia membuat laporan di Balai Polis Tanjung Kling, semalam, untuk tindakan segera pihak berkuasa.

Menurutnya, dalam kejadian terbaru jam 6.45 pagi semalam, 10 pukat dipasang rosak akibat dilanggar kapal yang melakukan aktiviti mengorek pasir di perairan itu.

“Ketika saya menarik pukat, tiba-tiba ada kapal korek lalu sebelum berlabuh berhampiran perahu dan terus melakukan kerja mengorek pasir tanpa menghiraukan saya.

“Mereka mengorek pasir ini secara sesuka hati. Sepatutnya lokasi mengorek pasir ditanda dan diselia oleh pegawai keselamatan supaya kami tahu di mana aktiviti itu dilakukan,” katanya.

Dia mendakwa, operator terbabit juga melanggar tiga syarat ditetapkan oleh Jabatan Tanah dan Galian, antaranya mengelakkan daripada berlakunya pertembungan antara aktiviti mengorek pasir dan menangkap ikan oleh nelayan dalam kawasan diluluskan.

Dua lagi syarat ditetapkan adalah membuat penanda yang jelas untuk panduan nelayan dan tidak boleh merosakkan terumbu karang di perairan berkenaan.

Harian Metro, Rabu lalu melaporkan mengenai Perairan Selat Melaka dekat Tanjung Kling, di sini, tercemar teruk berikutan berlakunya aktiviti mencuri pasir.

Dalang dan konco sindiket penyangak pasir itu seolah-olah tidak gentar dengan pihak berkuasa apabila melakukan tindakan itu secara terang-terangan siang dan malam.

Disiarkan pada: January 24, 2017 @ 6:26am
d