mutakhir

Tunggu jasad anak selama mana pun

Jertih: “Walau macam mana keadaan atau selama mana perlu menunggu, kami sebagai ibu bapanya berharap dia ditemui,” kata Alias Mamat, 58, bapa kepada Muhammad Izzat Haikal, 12, yang hilang ketika mandi di Pantai Bukit Keluang, di sini, pada 14 Januari lalu.

Dia mahu anaknya dapat dikebumikan untuk memberi ruang kepada keluarga menziarahi pusaranya jika ditemui tidak bernyawa.

Alias yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi berkata, dia bersama isteri, Sarjan Yuhaslinah Yunus, 51, dan empat anak lain terus menunggu dan berdoa agar anak bongsu daripada lima beradik itu dapat ditemui.

“Bagaimanapun, andai tertulis kami tidak sempat menemui jasadnya, kami pasrah dengan dugaan Allah.

“Saya terharu dengan kehadiran Ketua Polis Terengganu (Datuk Rosli Ab Rahman) bersama rombongan, malah kehadiran kepemimpinan tertinggi Kontinjen Polis Terengganu melegakan perasaan tertekan saya.

“Datuk (Rosli) memaklumkan dia pernah kehilangan anak dan nasihat diberikan mengubat luka kerana kami berdepan situasi sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelam Mas, di sini, kelmarin.

Seperti Alias, Yuhaslinah yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut turut berharap jasad anaknya ditemui untuk diuruskan sebaik mungkin jika diizinkan Allah.

Muhammad Izzat Haikal Alias, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja yang hilang ketika mandi bersama lima rakan di pantai itu dalam kejadian jam 3 petang.

Sebelum ini, mayat rakannya, Nik Muhamad Haikal Fitri Nik Shamsuddin, 13, dijumpai pasukan penyelamat 200 meter dari lokasi mereka dilaporkan lemas pada 8.20 pagi 15 Januari lalu.

Disiarkan pada: January 24, 2017 @ 6:48am
d