mutakhir

Didik hibur elak murid pasif

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Usaha mengembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi mewujudkan insan yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani dapat direalisasikan dengan mewujudkan ekosistem pembelajaran selamat, berhala tuju dan mendidik.

Ia seiring Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan enam aspirasi murid bagi melahirkan modal insan kelas pertama dalam mendepani cabaran abad ke-21.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Aminudin Adam berkata, kementerian menerapkan konsep ‘Fun Learning’ atau didik hibur yang tidak terhad kepada pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata.

“Komponen penting ekosistem ini ialah budaya sekolah, prasarana, pembabitan ibu bapa
dan komuniti, guru yang profesional serta proses pengajaran dan pembelajaran yang menjurus kepada kemahiran abad ke-21.

“Untuk itu, kementerian memperkenalkan Program Sekolah Penyayang sejak 2012 bagi mewujudkan hubungan lebih akrab dengan murid bagi mengekang gejala ponteng dan meningkatkan minat
ke sekolah.

“Kami percaya, murid menjadi lebih bermotivasi apabila terdedah dalam suasana sosial yang positif,” katanya.

Menurut Aminudin, pendekatan didik hibur memberi peluang kepada murid untuk belajar dalam suasana menyeronokkan dan menyediakan mereka dengan kemahiran komunikasi, kolaboratif
dan pemikiran kritis serta kreatif.

Jelas Aminudin, ia berbeza dengan konsep pembelajaran lama di mana guru memberi maklumat dan murid hanya menerima apa saja yang diajarkan.

Sementara itu, Aminudin berkata, KPM turut memperkenalkan kaedah ‘Flipped Classroom (FC)’
di prasekolah kementerian iaitu pembelajaran dilakukan bersama-sama ibu bapa di rumah sebelum murid belajar di sekolah.

Kata beliau, model FC prasekolah disesuaikan dengan keperluan pendidikan
dan sesi pembelajaran di sekolah menjadi satu sesi aktif di mana murid diberi tugasan berbentuk projek atau penyelesaian masalah.

Katanya, murid akan belajar secara berkumpulan bagi berbincang dan melatih kemahiran menyelesaikan konflik yang bersesuaian dengan tahap usia mereka.

“Sebanyak 10 kelas prasekolah dijadikan kumpulan rintis pada tahun 2015 dan ia diperluaskan kepada satu daerah satu kelas FC pada tahun lalu.

“Untuk tahun ini, semua kelas prasekolah di Putrajaya mempunyai kelas FC dan ia akan diperluaskan lagi ke negeri lain secara berperingkat,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2017 @ 6:58am
d