mutakhir

Terburuk 50 tahun

Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Penduduk sekitar daerah Sabak Bernam menyifatkan hujan berterusan lebih 24 jam sejak kelmarin, mengakibatkan banjir kilat luar biasa dan terburuk dalam tempoh lebih 50 tahun.

Warga emas, Naimah Bahari, 62, berkata, banjir terakhir melanda kediamannya di Sungai Besar ketika dia berusia lapan tahun.

“Sudah dua kali rumah mak cik dinaiki air iaitu kali pertama ketika usia mak cik lapan tahun. Tidak sangka kali ini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan,” katanya.

Naimah yang menetap bersendirian di kediaman itu selepas kematian suami 14 tahun lalu berkata, banjir kali ini dianggap pelik kerana tiada sebarang laporan kemungkinan banjir melanda apatah lagi tiada persediaan dilakukan.

“Sebelum ini kawasan rumah mak cik masih selamat diduduki walaupun banjir berlaku di kawasan sekitar.

“Mak cik terpaksa minta tolong jiran untuk memindahkan barangan elektrik ke tempat yang selamat,” katanya.

Orang kurang upaya (OKU), Norazmil Mohd Basri, 49, berkata, dia yang menetap di Kampung Parit 1 Timur, Sungai Besar, tidak pernah diarahkan berpindah ke pusat pemindahan banjir sebelum ini.

“Namun pagi tadi (semalam) kami terpaksa berkemas dan berpindah ke pusat ini.

“Ini pengalaman pertama saya dan hari ini (semalam) mungkin kami bermalam di sini,” katanya.

Norazmil berkata, air mula melimpah ke rumahnya jam 7 malam kelmarin.

Katanya, paras air setinggi 0.3 meter itu menyebabkan isteri dan dua anaknya itu bertungkus-lumus memindahkan barang berharga ke tempat lebih tinggi.

Penduduk di Kampung Nelayan, Suratma Hamdani, 50, berkata, air limpahan dari parit berdekatan mula memasuki kediamannya itu sejak jam 5 petang kelmarin.

Disiarkan pada: January 25, 2017 @ 4:57am
d