mutakhir

Bantu tambah pendapatan sampingan

Kuala Lumpur: “Kami tawar perkhidmatan teksi motosikal Dego RIDE bukan untuk meraih keuntungan sebaliknya misi utama membantu golongan kurang berkemampuan di Lembah Klang mendapat pendapatan sampingan.

“Bagaimanapun, sebagai menghormati keputusan kementerian, kami hentikan serta-merta operasi petang semalam dan batalkan semua tempahan,” kata Ketua Pegawai Pemasaran My Interactive Lab Sdn Bhd pengendali Dego RIDE, Shairazi Sulastri ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, meskipun terkejut dengan keputusan Kementerian Pengangkutan namun syarikat milik Bumiputera itu akur walaupun baru tiga bulan beroperasi.

Kata Shairazi, pihaknya mencari waktu sesuai bertemu kementerian secepat mungkin untuk membincangkan perkara itu bagi mencari jalan penyelesaian.

“Kira-kira 5,000 pemilik motosikal mendaftar menjadi penunggang Dego RIDE dan mereka kebanyakannya golongan berpendapatan rendah.

“Mereka mencari rezeki halal meringankan beban kewangan dan dalam hal ini, kerajaan wajar memberi pertimbangan,” katanya.

Shairazi berkata, perkhidmatan teksi motosikal menjadi pilihan warga Lembah Klang kerana ia bukan sahaja murah, malah lebih pantas sampai ke destinasi.

Disiarkan pada: January 25, 2017 @ 5:38am
d