mutakhir

Dego RIDE operasi haram

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Seri Kembangan: Perkhidmatan teksi menggunakan motosikal, Dego RIDE didapati menyalahi peraturan kerana menjalankan operasi tanpa lesen dan bakal berdepan tindakan undang-undang

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, kementeriannya tidak pernah mengeluarkan lesen kepada pengendali perkhidmatan teksi menggunakan motosikal kerana ia melanggar undang-undang jalan raya di negara ini.

Katanya, pihaknya memandang serius penggunaan motosikal sebagai kenderaan mengambil penumpang kerana ia boleh menjejaskan keselamatan orang awam.

“Motosikal tidak dibenarkan sama sekali digunakan sebagai teksi mengambil penumpang kerana jika berlaku kemalangan contohnya, bagaimana nasib penumpang itu nanti?

“Penggunaan motosikal sebagai teksi bukan sahaja menyalahgunakan lesen kenderaan persendirian, malah melanggar Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

“Kementerian mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali teksi bermotosikal kerana menjalankan operasi tanpa kebenaran,” katanya pada Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Mines Selatan, semalam.

Menurut Abdul Aziz, orang ramai yang mahu menjalankan perniagaan berkaitan perkhidmatan pengangkutan perlu mengikut peraturan sedia ada dan dalam isu teksi motosikal berkenaan, ia membabitkan dua aspek iaitu undang-undang serta keselamatan pengguna.

“Jika mahu dapat upah bawa penumpang, kenderaan yang digunakan mesti mendapat kebenaran daripada JPJ kerana kita tidak mahu pengguna terdedah bahaya,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas masalah ulat perkhidmatan perkongsian kenderaan Grab dan Uber di beberapa lokasi termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, Abdul Aziz berkata, pihaknya meneliti isu berkenaan.

Katanya, masalah itu tidak wajar timbul kerana perkhidmatan Grab dan Uber menggunakan aplikasi.

“Pihak berkuasa bekerjasama dengan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) untuk menjalankan operasi dengan lebih kerap bagi membanteras kegiatan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Aziz berkata, tiada keperluan mewujudkan kad pemandu khas bagi pemandu Grab atau Uber untuk dipamerkan dalam kenderaan masing-masing.

Katanya, ini kerana maklumat mengenai kenderaan dan butiran pemandu disediakan di dalam aplikasi yang digunakan.

Disiarkan pada: January 25, 2017 @ 5:40am
d