mutakhir

Gotong-royong bina benteng guni berisi pasir

Tangkak: Penduduk Kampung Simpang 5 Darat, Bukit Gambir, di sini, bergotong-royong membina benteng menggunakan guni berisi pasir berhampiran hulu Sungai Belemang bagi mengelakkan air melimpah ke kawasan rumah mereka berikutan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.

Ketua Kampung Mat Rais Manap berkata, penduduk sepakat untuk membina benteng sebagai langkah berjaga-jaga dan mengelakkan limpahan air dari Sungai Sagil yang semakin meningkat.

Katanya, walaupun kunci air sudah dipasang di kawasan itu namun jika air sungai melimpah, ia boleh menyebabkan kawasan rendah di bahagian hujung kampung ditenggelami air.

“Kita sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir kerana berdasarkan pengalaman lalu, kediaman penduduk yang terletak di kawasan rendah dinaiki air berikutan limpahan air dari sungai dan kawasan berbukit.

“Hujan berterusan sejak Isnin lalu menyebabkan semua saliran air penuh dan melimpah ke kawasan kebun serta kediaman penduduk.

“Malah, kampung berhampiran seperti Kampung Parit Pulai dan Parit Bunga Raya Hujung turut terjejas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mat Rais berkata, selain membina benteng pasir, penduduk turut membersihkan sampah sarap yang hanyut dan tersangkut pada jambatan sehingga menghalang kelancaran pengaliran air ke Sungai Belemang.

Menurutnya, terdapat 158 penduduk daripada 50 keluarga tinggal di kawasan yang sering terjejas banjir di kampung itu terutama di hujung kampung yang terletak di kawasan rendah.

Katanya, kali terakhir berlaku pemindahan penduduk akibat terjejas banjir ialah pada 2006 apabila semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat.

Disiarkan pada: January 25, 2017 @ 5:53am
d