mutakhir

'Cair' kerana cucu

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Seorang wanita dalam pantang dan seorang warga emas berusia 69 tahun antara 26 mangsa banjir daripada enam keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir (PPB) di Sekolah Kebangsaan (SK) Asahan dan SK Chohong, semalam.

Daerah ini satu-satunya daerah yang terjejas dengan bencana alam itu setakat jam 6 petang semalam, berikutan paras air sungai naik akibat hujan tanpa henti sejak tiga hari lalu.

Di SK Asahan, nenek berusia 69 tahun, Zainon Ali dan cucunya dalam pantang, Nur Hidayu Karim, 23, sebahagian daripada lima sekeluarga dari Kampung Bukit Asahan menjadi mangsa pertama ditempatkan ke PPB di negeri ini yang mula dibuka jam 11.15 pagi.

Zainon berkata, mereka lima sekeluarga pada awalnya enggan dipindahkan tetapi akhirnya bersetuju selepas dinasihatkan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada cucunya yang sedang berpantang.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa dari kampung sama dipindahkan ke pusat itu jam 4 petang semalam, menjadikan enam mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di situ.

Sementara itu, 20 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Chohong dipindahkan ke SK Chohong selepas kediaman mereka dinaiki air, setakat jam 4 petang semalam, sebaik pusat itu dibuka jam 1 tengah hari.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Jasin, Muhamad Alif Abd Rahman berkata, hujan lebat sejak Ahad lalu menyebabkan paras air Sungai Relau dan Asahan melimpah.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, sekretariat JPBD yang ditubuhkan sejak Oktober tahun lalu sentiasa bersiap siaga termasuk bersedia untuk dikerah dalam usaha memberikan bantuan menyelamatkan mangsa banjir.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Seri Abdul Ghaafar Atan, membuat lawatan segera di Kampung Sungai Dua dan di PPB di SK Asahan.

“Kerajaan negeri akan mengenal pasti mekanisme terbaik mengatasi masalah banjir di beberapa lokasi di negeri ini termasuk di Asahan dan di Gadek,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Ibrahim Ali, 87, yang terlantar sakit akibat tua, masih belum berpindah ke PPB biarpun rumahnya di Kilometer 46 Kampung Sungai Dua, sudah dimasuki air sedalam 0.6 meter.

Anaknya, Kamarulzaman Ibrahim, 43, berkata, bapanya sudah terlalu uzur untuk dipindahkan dan mereka sekeluarga membuat keputusan tinggal di rumah itu dengan harapan paras air mula surut.

Disiarkan pada: January 25, 2017 @ 6:06am
d