mutakhir

Keletihan selepas 13 jam lolos hospital

Melaka: Banduan reman yang melarikan diri dari jagaan anggota Penjara Sungai Udang akhirnya ditangkap semula selepas 13 jam dalam keadaan kepenatan di tepi bangunan tinggal di Bukit Palah, di sini, tengah malam, semalam.

Suspek S Gunasegaran, 26, ditemui berpakaian sebagai orang awam, dipercayai pakaian dicuri daripada ampaian 6 kilometer dari Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, suspek kini dalam tahanan polis untuk didakwa.

“Suspek berada dalam jagaan pegawai penjara ketika melarikan diri. Difahamkan suspek meminta kebenaran ke tandas sebelum melarikan diri melalui sisip angin tandas pada jam 11.30 pagi semalam (kelmarin).

“Sebaik menerima laporan, kita menggerakkan semua elemen yang ada untuk mencari suspek yang dipercayai berada tidak jauh dari lokasi hilang, sebelum menemuinya malam tadi (semalam),” katanya selepas melancarkan Kempen Rumah Selamat Sampai Ke Destinasi sempena Tahun Baru Cina, di Melaka Mall, di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan mental disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, kini berada dalam tahanan polis dan akan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, kerana lari dari tahanan yang sah.

Dalam pada itu, Shaikh Abdul Adziz berkata, kira-kira 400 anggotanya akan bertugas sepanjang Kempen Rumah Selamat Sampai ke Destinasi dari 21 Januari hingga 5 Februari.

“Kita harap masyarakat daerah ini mengisi dan menghantar borang makluman ke balai polis berdekatan untuk memudahkan mengatur pergerakan memantau kawasan perumahan yang ditinggal,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2017 @ 5:49am
d