mutakhir

Semburan biodiesel aedes diiktiraf MBOR

Cyberjaya: Dua tahun lalu, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjalin kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menghasilkan Aedes Bio Based Fuel (ABBF) bagi membasmi nyamuk aedes.

Bermula dengan pengumpulan aktiviti Kitar Semula Minyak Masak Terpakai (KISMAT) yang dijalankan Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPSepang, ia mampu dijadikan biodiesel melalui penggunaan teknologi FRIM.

Usaha itu membuahkan hasil apabila MPSepang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menggunakan biodiesel untuk semburan asap (fogging) aedes.

Yang DiPertua MPSepang, Datuk Puasa Md Taib berkata, minyak masak yang terkumpul dapat dijadikan biodiesel melalui teknologi FRIM, sekali gus mampu digunakan sebagai pembawa bahan aktif di dalam alat semburan kabus.

“Hasil kajian mendapati penghasilan ABBF daripada minyak masak kitar semula itu mampu membunuh nyamuk aedes secara berkesan dan usaha ini mendapat pengiktirafan MBOR,” katanya pada Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MPSepang 2017 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhammad Hafiz Shaari, Penolong Pengurus MBOR, Ayman Izzaz dan Ketua Program Teknologi Biomas FRIM, Dr Wan Asma Ibrahim.

Puasa berkata, pihaknya memperuntukkan RM168,000 bagi membangunkan projek berkenaan yang mampu menghapuskan nyamuk aedes.

Disiarkan pada: January 26, 2017 @ 5:53am
d