mutakhir

Pemandu degil telagah dengan JPJ

Dengkil: Seorang lelaki ditahan selepas sengaja mempamerkan lampu mata arah pada kenderaan milik syarikatnya dalam operasi di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Dengkil, awal pagi semalam.

Difahamkan, kenderaan digunakan didaftarkan atas nama syarikat namun lampu mata arah itu tidak boleh dipamerkan kecuali ketika dalam tugasan dan perlu mendapat kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pihak polis kemudian mahu merampas lampu itu namun lelaki berusia 40-an terbabit cuba mempertikaikan tindakan pihak berkuasa selain memberitahu dia memenuhi undang-undang berkaitan penggunaan lampu mata arah berkenaan.

Itu antara situasi berlaku ketika pasukan trafik Lebuhraya Zon Tengah (B3) diketuai Inspektor Nazril Nizuan Abd Rahim menjalankan pemeriksaan dalam operasi dijalankan sempena perayaan Tahun Baru Cina di kawasan RNR Dengkil, jam 1.42 pagi semalam.

Bagaimanapun, selepas mengaku salah serta hasil budi bicara pihak polis, lelaki berkenaan dibebaskan namun diberikan notis amaran selepas memintanya menurunkan alat itu.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi bersepadu itu membabitkan seramai 109 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ, PLUS, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), PUSPAKOM dan PERKESO dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, hasil operasi yang dijalankan, 59 kesalahan direkodkan.

Disiarkan pada: January 26, 2017 @ 6:04am
d