mutakhir

300 mangsa banjir Orang Asli rayu bantuan makanan

Gua Musang: Seramai 300 penduduk membabitkan 77 keluarga Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini, yang terperangkap akibat banjir merayu bantuan makanan.

Penduduk yang berpindah ke puncak bukit berhampiran berharap bekalan makanan tambahan memandangkan kehabisan bekalan sedia ada.

Penduduk, Jamlus Musa, 29, berkata, mereka sudah sebulan membina bangsal di atas bukit kerana bimbang berlaku banjir.

“Dan sejak seminggu lalu kami duduk di bangsal ini kerana kampung dilimpahi air Sungai Lebir.

“Bekalan yang dibawa semakin kehabisan dan laluan pula ditenggelami air,” katanya.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Ramli Bibas berkata, perpindahan itu kali kedua selepas banjir pada 1 Januari lalu.

“Ketika banjir surut, penduduk pulang ke rumah masing-masing, namun sejak Jumaat lalu mereka bersiap-siap berpindah kerana keadaan membahayakan.

“Saya berharap ada pihak yang tampil membantu menyalurkan bekalan makanan segera,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2017 @ 5:20am
d